Asajaya dulunya dikenali sebagai nama Nonok merupakan sebuah daerah kecil yang mula diwujudkan pada 1 Oktober 1970. Ketika Asajaya masih dikenali sebagai daerah kecil, seorang Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) telah dilantik untuk mentadbir daerah ini dengan dibantu oleh dua orang kakitangan. Dua tahun selepas itu, pejabat baru telah dibina dan  kakitangan telah bertambah kepada empat orang sehingga terbinanya sebuah bangunan konkrit yang baru dan mula beroperasi pada tahun 1993 sehingga ke hari ini.

 

Dahulunya, Nonok berada di bawah pentadbiran Daerah Kuching dari tahun 1970, sebelum diambil alih oleh Daerah Samarahan pada tahun 1993 setelah Samarahan diiktirafkan sebagai daerah penuh dan nama Nonok ditukarkan kepada Asajaya. Rentetan sejarah Asajaya terus berlaku secara rasminya dengan dinaikkan taraf dari daerah kecil ke daerah penuh pada 31 Disember 1999. 

 

Sejak beroperasi sebagai daerah penuh, Asajaya terus menampakkan kemajuan pembangunan seperti kemudahan infrastruktur serta kemajuan ekonomi penduduk yang pesat. Selain penglibatan daripada  pelbagai agensi kerajaan, pihak lain mula membuka pejabat mereka di sini seperti POS MALAYSIA, SESCO, Balai Polis Asajaya dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak. Pembukaan pejabat bagi agensi-agensi ini memudahkan banyak urusan penduduk kampung seperti menyelesaikan pembayaran bil air, bil elektrik, menghantar surat dan sebagainya.

 

Disamping itu, terdapat banyak kedai- kedai runcit yang telah di buka di Pekan Asajaya yang amat memudahkan penduduk sekitar seperti Kampung Sebandi, Kampung Moyan, Kampung Serpan, Kampung Semera dan lain- lain lagi untuk membeli barang keperluan harian mereka. Ini amat membantu penduduk sekitar yang sukar untuk pergi ke Kota Samarahan semata- mata untuk membeli barang keperluan.

 

Jika dulu, Asajaya hanya boleh dihubungi dengan bot atau perahu yang merentasi Laut China Selatan dengan deruman ombak yang kuat melanda beting Sebandi namun dengan kemudahan jalan raya ditambah lagi dengan kemajuan ekonomi penduduk yang membanggakan, masyarakat sekitar kini sudah mampu mempunyai kenderaan sendiri seperti kereta dan motosikal untuk memudahkan mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

 

Pusat Ekonomi Digital Pekan Asajaya pula terletak di Kampung Semera Asajaya.PEDi ini beroperasi dengan menggunakan premis milik Persatuan Nelayan Semera (PNK) bersebelahan dengan Dewan Masyarakat Kampung Semera. Jasa baik Persatuan Nelayan Semera (PNK) dalam membantu Pusat Ekonomi Digital Pekan Asajaya menyebarkan kemahiran penggunaan dan literasi ICT kepada masyarakat sekitar amatlah dihargai.Selepas proses naiktaraf, Pusat Ekonomi Digital Pekan Asajaya telah beroperasi semula bermula 3 Disember 2016 sehingga sekarang.