Kampung Semera merupakan sebuah perkampungan nelayan pesisir pantai di Daerah Asajaya.  Lokasinya terletak kira-kira 66 kilometer dari Bandaraya Kuching. Sebelum ini, pengunjung yang ingin mengunjungi Kampung Semera boleh melalui jalan raya dari Kuching ke Samarahan sebelum menggunakan feri dari Pekan Kecil Muara Tuang untuk menyeberangi Sungai Tuang. Namun demikian, penggunaan feri adalah bergantung kepada paras ketinggian air iaitu air pasang surut sungai. Jika paras air sungai adalah rendah, maka feri tersebut tidak dapat beroperasi, jalan alternatif yang digunakan adalah dengan menggunakan jalan raya melalui UITM samarahan menghala ke Kampung Melayu untuk terus ke Asajaya dan seterusnya ke Kampung Semera. Namun jaraknya adalah lebih jauh berbanding menggunakan feri di Pekan Kecil Muara Tuang. Jalan alternatif ini biasanya lebih dikenali dengan panggilan "Jalan darat". Pada tahun 2018, Jambatan  Batang Samarahan yang bernilai RM 93 Juta dan sepanjang 774 meter telah rasmi di buka kepada orang awam. Dengan adanya Jambatan Batang Samarahan, ianya dapat memendekkan tempoh perjalanan pengguna tanpa perlu menggunakan perkhidmatan feri atau jalan alternatif yang jauh untuk ke kawasan Asajaya mahupun Kampung Semera. 

 

Penduduk Kampung Semera terdiri daripada kaum melayu dan juga kaum cina. Namun demikian, kaum majoriti yang terdapat di kampung ini adalah kaum melayu. Pentadbiran Kampung Semera dibahagi kepada beberapa bahagian iaitu Semera Laut, semera hilir, Semera Tengah,  Semera Masjid, Semera Lot, Semera Ulu, Ulu Semera, Semera Ulu (kawasan Cina) dan Semera Lot Baru. Setiap kampung ditadbir oleh ketua kaum (KK) dan Kapitan masing-masing.

 

Walaupun pusat internet ini di beri nama Pusat Ekonomi Digital Pekan Asajaya, namun demikian Pusat Ekonomi Digital ini terletak di kawasan Kampung Semera. Seperti diketahui umum Kampung Semera terletak diantara Asajaya dan Sadong Jaya.

 

Kampung Semera terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri, N.24 (Sadong Jaya), P.200 (Batang Sadong). Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Batang Sadong adalah Yang Berhormat Puan Rodiyah Binti Sapiee  manakala Ahli Dewan Undangan Negeri yang mewakili Kampung Semera adalah Yang Berhormat Ir Aidel Bin Lariwoo.

 

Maklumat lanjut, bolehlah lawati Pejabat Daerah Asajaya